Monday, May 2, 2011

PERKHEMAHAN INTEGRASI ANAK-ANAK ISTIMEWA NEGERI SARAWAK 2011

Laporan Perkhemahan Integrasi Anak-anak Istimewa Peringkat Negeri Sarawak Tahun 2011
Pada 18 hingga 21 April 2011 yang lalu, Program Pendidikan Khas Integrasi Masalah Pembelajaran SMK Demak Baru telah menghantar tiga orang pelajar dan seorang guru pengiring untuk menyertai perkhemahan tersebut yang diadakan di Pusat Kokurikulum Negeri Kem Santubong. Perkhemahan yang diadakan selama 4 hari 3 malam ini disertai oleh 80 orang pelajar dan 37 orang guru pengiring yang terdiri daripada pelajar sekolah menengah dan sekolah rendah serta pelajar masalah pendengaran. Antara objektif perkhemahan tersebut ialah meningkatkan tahap keyakinan diri anak-anak istimewa, meningkatkan kemahiran sosial serta mengeratkan hubungan silaturahim antara peserta.


Pada hari pertama diadakan pendaftaran peserta iaitu bermula pada pukul 2.00 hingga 4.00 petang. Kemudian, peserta-peserta memasang khemah masing-masing di tapak perkhemahan. Selepas itu diadakan taklimat yang dilakukan oleh Kem Komandan, Tuan Abang Shamsudin Abang Ahmad. Pada sebelah malamnya pula, peserta-peserta diagihkan kepada 4 kumpulan besar yang terdiri daripada pelajar sekolah menengah dan sekolah rendah, termasuk pelajar pendidikan khas masalah pendengaran. Peserta-peserta balik tidur pada pukul 10 malam.

Pada hari kedua pula, dimulakan dengan aktiviti senamrobik. Kemudian, peserta-peserta berpecah kepada stesen-stesen yang telah ditetapkan. Bagi kumpulan pelajar-pelajar PPKI SMK Demak Baru, aktiviti pertama yang dilakukan ialah rempuh halangan, kemudian, ikhtiar hidup, diikuti dengan kem kraf dan yang seterusnya wall climbing. Pada sebelah malamnya pula, diadakan latihan persembahan untuk malam kebudayaan.

Hari ketiga perkhemahan juga dimulakan dengan senamrobik, kemudian diadakan aktiviti motivasi. Aktiviti motivasi ini peserta-peserta melakukan permainan kecil yang dipanggil “bagi, bagi, bagi, ambil, bagi” yang menggunakan botol mineral yang diisi dengan batu dan aktiviti “siapa paling panjang”. Pada sebelah petangnya pula, peserta-peserta dibawa ke pantai untuk melakukan aktiviti membina istana pasir dan keselamatan di air. Di sini, peserta-peserta diajar untuk meningkatkan keyakinan diri ketika berada di dalam air. Pada sebelah malamnya pula, acara kemuncak diadakan, iaitu malam kebudayaan. Semua kumpulan membuat persembahan masing-masing.

Hari terakhir perkhemahan, pada paginya, para peserta mengemas khemah masing-masing dan membuat kerja pembersihan tapak perkhemahan serta persiapan majlis penutupan .Pukul 10.00 pagi, upacara majlis penutupan dijalankan. Perasmian Penutupan telah dilakukan oleh Pn. Hajah Fatimah Hamid, Ketua Sektor, Sektor Pendidikan Swasta dan Pendidikan Khas, Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak. Majlis tamat pada pukul 12.00 tengah hari.

Kami berharap dengan adanya aktiviti seperti ini bukan sahaja dapat meningkatkan tahap keyakinan diri anak-anak istimewa, malah dapat meningkatkan kemahiran sosial serta dapat mempelajari pengalaman perkhemahan seperti mana anak-anak yang lain. Semoga aktiviti seperti ini dapat diadakan lagi pada masa akan datang.