Saturday, February 27, 2010

APA ITU DNA?

DNA merupakan molekul dalam sel asid nukleik utama yang terkandung di dalam kromosom. Ia sangat unik dan penting kepada manusia serta organisma hidup.
DNA yang terbina daripada unit nukleotida terdiri daripada tiga juzuk utama iaitu deoksiribosa, fostat dan bes bernitrogen ibarat kad pengenalan diri kerana tiada manusia mahupun organisma mempunyai DNA serupa di muka bumi ini kecuali mereka adalah kembar seiras.
DNA juga amat penting dalam biologi manusia kerana ia merupakan bahan menghasilkan gen yang membawa maklumat pewarisan.
Gen merupakan satu segmen pada rantaian DNA yang mengawal pembentukan protein tertentu sekali gus bertindak memberi bentuk kepada kromosom.


Tidak keterlaluan jika dikatakan DNA ibarat seperti otak kepada semua sel kerana ia berkebolehan memberi arahan kepada sel-sel lain mengenai tugas dan fungsi di dalam tubuh kita.
"DNA amat penting kerana ia mengkodkan semua kod genetik manusia dan organisma. Kod genetik ini akan bertindak menghasilkan protein dalam pembentukan sel seterusnya ia akan membentuk tisu. Selepas itu, ia membentuk organ dan menjadi organisma.
"Setiap DNA individu adalah unik kerana ia berlainan antara satu sama lain. Manusia mempunyai DNAnya sendiri, ia adalah identiti seseorang dan tidak boleh ditukar milik," jelas Pensyarah Kanan Program Sains Forensik Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian, Kelantan, Dr. Zafarina Zainuddin.
Kata Zafarina, DNA seseorang tidak akan sama sekali bertukar profil dengan orang lain.
Bagaimanapun, hanya pasangan kembar seiras memiliki DNA yang sama.
Bahagian anggota tubuh manusia yang manakah DNA boleh ditemui? "Dalam semua sel yang mempunyai nukleus di seluruh tubuh manusia mempunyai DNA kecuali sel darah merah matang."
Kata Zafarina, antara bahagian manusia yang mempunyai DNA termasuklah helaian rambut, darah, air liur, peluh, air mani, tulang dan beberapa lagi.
Menurut Zafarina, DNA mampu bertahan sehingga beratus tahun lamanya bergantung kepada persekitaran sesuatu tempat itu. Sebagai contoh, jika terdapat tengkorak di dalam gua tertutup dan dilitupi salji ia boleh kekal hingga beratus tahun lamanya.
Apakah kepentingan DNA dalam siasatan polis? Berbeza dengan cap jari yang boleh dihapuskan kesannya di tempat jenayah, sebaliknya penjejakan bahan bukti menerusi DNA lebih luas.
Pangkalan data DNA
"DNA yang ditinggalkan di tempat kejadian sukar dihapuskan melainkan ia terdedah kepada persekitaran yang ekstrem seperti kelembapan yang tinggi atau kepanasan yang melampau


"Bagaimanapun menerusi kaedah tertentu pakar forensik masih boleh menjejaki DNA tersebut. Ketepatan ujian DNA juga hampir sempurna iaitu sehingga 99.9 peratus kerana profil bagi setiap individu adalah unik dan berbeza," katanya ketika dihubungi.
Dalam pada itu, Zafarina turut mengulas mengenai kepentingan penubuhan bank pangkalan data DNA yang dapat memberi kelebihan kepada polis untuk menjejak suspek dengan lebih cepat.
"Bank DNA ini sangat penting khususnya yang melibatkan jenayah berulang seperti merogol dan membunuh. Ini kerana profil DNA yang disimpan di dalam pangkalan data tersebut boleh bertahan selama-lamanya memandangkan ia direkodkan dalam bentuk nombor.
"Ia sekali gus dapat membantu pihak polis mencari suspek dengan lebih mudah dan dalam proses identifikasi penjenayah," ujarnya.
Sementara itu, bekas Ketua Unit Siasatan Jenayah (CSI) Amidon Anan, 59, mengakui sepanjang pengalaman beliau melibatkan diri selama dua dekad dalam unit tersebut belum ada satu manusia yang mempunyai DNA sama.
"DNA tetap unggul dan unik untuk seseorang individu dalam menentukan siapa dia atau apa dia. Selain cap jari, dalam penyiasatan kita akan mencari DNA suspek untuk menyelesaikan kes dan ia membawa makna yang besar dalam siasatan.
"Ia akan dilakukan mengikut teori sains forensik bagi memastikan setiap bahan yang diperoleh adalah bukti kukuh. Walau di mana pun seseorang itu berada, dia dapat dikesan menerusi DNA yang ditinggalkannya," katanya yang pernah berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama 34 tahun.
Amidon yang pernah menerima jolokan Raja CSI Malaysia menambah, DNA yang dicari sewaktu menjalankan siasatan termasuklah rambut, tulang, air mani, darah, peluh mahupun secalit sentuhan.
Beliau berkata, siasatan kes pembunuhan penganalisis komputer, Canny Ong yang mayatnya ditemui di dalam longkang berhampiran Jalan Klang Lama, Petaling Jaya pada Jun 2003 merupakan pengukur bidang forensik.
"Ia merupakan satu sukatan pengamatan penyiasatan sains forensik yang dilakukan 100 peratus walaupun mengambil masa lama dan remeh tetapi dapat membuktikan kesahihan kes tersebut.


Selain kes tersebut, beliau yang merupakan Pensyarah Pelawat Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu, Program Sains Forensik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) juga terlibat dalam kes seperti Noor Suzaily Mukhtar, Nurin Jazlin Jazimin dan sebagainya.
Amidon turut merasakan Bank DNA sepatutnya wujud awal lagi kerana dapat membantu pihak siasatan polis dan Jabatan Kimia Malaysia yang memerlukan data pada kadar segera.


Oleh NADZARUL AMIR ZAINAL AZAMamir.azam@kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment

Post a Comment